Keris kecil milik Wali Songo, dakwa warisi senjata keramat diberikan ustaz
JENGKA 24 – Seorang pemuda dari Felda Jengka 24 mendakwa dirinya memiliki sebilah keris sebesar syiling 50 sen yang dikatakan antara lima bilah keris milik Wali Sembilan atau Wali Songo di Nusantara ini.

Pemuda terbabit yang mahu dirinya dikenali sebagai Tok Nadim, berkata, keris terbabit diperolehnya dari seorang ustaz yang tidak mahu didedahkan identitinya.

“Saya diberikan keris ini oleh seorang ustaz yang mendapatkannya dari Gunung Senyum setahun lalu. Saya tidak tahu perkara sebenar bagaimana ustaz terbabit mendapatkan keris ini, namun berdasarkan pertanyaan dari ramai orang, keris ini merupakan antara salah satu dari lima bilah keris milik Wali Songo,” katanya.

Beliau yang berusia 26 tahun itu turut memberitahu, keris yang terukir kalimah Allah itu dikatakan keris yang boleh membunuh syaitan dan iblis.

“Saya diberitahu oleh seseorang, keris ini adalah antara keris yang ditakuti oleh syaitan dan iblis, malah boleh digunakan untuk mengubati orang yang dirasuk. Saya juga diberitahu bahawa keris terbabit dicipta atas tujuan perubatan dan bukan untuk menentang sesiapa serta berkemungkinan ia wujud sejak ratusan tahun dahulu,” katanya.


Dia mengakui bahawa kini terdapat ramai orang mencipta keris tiruan sekecil keris ini untuk menipu mata masyarakat dan keris yang dimilikinya itu telah dibuktikan kebenarannya.

“Keris ini ditempa menggunakan tangan dan bukan menggunakan sebarang mesin atau alatan seperti yang dilakukan pada zaman sekarang. Hanya sesetengah orang yang terpilih sahaja boleh mengetahui sama ada keris ini benar atau palsu dengan menggunakan ‘mata hati’ atau kebolehan yang diberikan kepada mereka,” katanya.


Pedang Tokku Paloh

Tok Nadim turut memberitahu memiliki beberapa bilah senjata lain yang digunakan oleh pahlawan zaman Melayu dan Tanah Jawa.

Antaranya termasuklah sebilah pedang milik Tokku Paloh yang pernah digunakan oleh pahlawan seperti Tok Gajah dan Tok Bahaman.

“Pedang terbabit dipinjamkan kepada pahlawan Pahang ketika zaman menentang Inggeris pada 1894. Dikatakan pedang terbabit dikawal oleh Tok Bahaman di atas air dan berjaya membunuh seramai 200 tentera Inggeris ketika itu,” katanya.

Selain itu, dia juga turut menunjukkan kepada Sinar Harian keris yang dikatakan menjadi rebutan ramai seperti Keris Alang yang didakwa milik seorang pahlawan bernama Kasturi, lembing seorang pahlawan wanita bernama Dayang, Pisau Bisa yang digunakan ketika zaman Tok Kenali, Kacip Sireh milik seorang bidan jelmaan Puteri dari sebuah gunung, Lembing Bersarung, Pisau Tilik Parang, Keris Nujum Hilang dan beberapa bilah badik.


Senjata dijaga khadam

Tok Nadim juga berkata, setiap senjata yang diperolehnya mempunyai khadam atau jin yang menjaganya. Khadam terbabit dikatakan sejenis jin Islam yang ditidurkan buat sementara waktu dan akan dikejutkan apabila tiba masanya nanti.

Katanya, barang terbabit diamanahkan kepadanya untuk dijaga dan dikatakan akan memberikan barang terbabit kepada waris asal atas sebab Islam bila sampai masanya nanti.

Beliau turut memberitahu, kesemua barang terbabit diserahkan oleh ustaz yang menemui barang tersebut dalam masa satu malam di Gunung Senyum dan kini dikatakan disimpan di satu kawasan di gunung terbabit untuk tujuan keselamatan.

“Saya ingin mendedahkan perkara ini kepada umum bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau sebagainya, sebaliknya untuk memberitahu umum tentang kewujudan senjata terbabit. Percaya atau tidak, terpulanglah kepada mereka menilainya. Namun saya tetap menjalankan amanah saya menjaga barang ini dan tidak akan menjualnya kepada sesiapa,” katanya.